BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya menangkap seekor anak buaya yang dipercayai tersesat sehingga ke kawasan daratan perumahan di Taman Foh Phin, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya yang menerima paggilan daripada penduduk perumahan itu pada jam.6.48 petang pagi sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, anak buaya sepanjang dua meter itu dipercayai dari Sungai Bintangor dan tersesat sebelum dijumpai oleh penduduk perumahan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati memang ada seekor buaya di tepi jalan menuju ke kawasan perumahan itu.

“Untuk menangkapnya, kita menggunakan tali, kain dan penjerut. Operasi ditamatkan setelah buaya berjaya ditangkap dan dibawa ke balai sementara menunggu pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Nicholas berkata, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di Bintangor sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya menghubungi Bomba jika terserempak dengan reptilia tersebut.

“Jangan mengambil tindakan sendiri kerana repitilia ini boleh bertindak lebih ganas. Utamakan keselamatan diri sendiri,” ujarnya.