KUCHING: Barang antik iaitu gong, tempayan, tombak dan parang berusia lebih 100 tahun milik Medi Sata, 76, antara yang musnah dalam kebakaran meranapkan rumahnya dan rumah anaknya di Kampung Benuk, semalam.

Ketika kejadian sekitar jam 9 pagi itu, warga emas terbabit keseorangan di rumah manakala anak, menantu serta tiga cucu tinggal bersamanya dalam rumah pusaka itu pergi bekerja dan bersekolah.

Tindakan berani Medi yang cemas ketika itu untuk cuba memadam api yang mula marak di tingkat atas rumah dua tingkatnya itu juga menyebabkannya melecur ringan di kepala.

Mujurlah dia sempat ditarik keluar dari rumah ketika itu oleh anaknya, Sidap Medi, 48, yang bergegas datang sebaik menyedari kepulan asap tebal dari rumah bapanya.

Sidap tinggal di rumah sendiri yang tidak jauh dari rumah bapanya.

“Nasib baik saya cepat masuk lalu mencari ayah dan melihatnya sedang berusaha memadam api yang sedang membakar tilam.

“Ketika itu api sudah marak dan saya terus menariknya keluar,” katanya ketika ditemu-bual.

Anak perempuan Medi iaitu Moni, 45, yang tinggal bersamanya memberitahu kejadian disedari oleh jirannya yang melihat kepulan asap dari rumah mereka.

Tovis Medi, 51, pula hanya mampu melihat api marak yang merebak daripada rumah ayahnya meranapkan rumahnya yang baharu didiami kira-kira setahun.

Semasa kejadian, hanya anak bongsunya yang berusia 13 tahun berada di rumah manakala dia bersama isteri di kebun, selain seorang lagi anaknya bersekolah dan seorang bekerja.