SEPANJANG penganjuran Agenda Warisan Pintar Old Kuching 2019 di Tebingan Kuching bermula 25 hingga 31 Mac, segala transaksi pembayaran akan menggunakan SarawakPay.

“Tiada tunai akan digunakan sepanjang program ini, sama ada untuk pembayaran penyertaan ataupun ketika berlangsungnya Agenda Warisan Pintar Old Kuching 2019 di Tebingan Kuching kelak,” jelas Ketua Bahagian Perhubungan Awam Norhayati Bidin.

Menurutnya selain memaparkan elemen digital melalui pameran pelbagai agensi kerajaan, badan korporat, pihak swasta dan pertubuhan, paling utama adalah penggunaan Aplikasi Sarawak Pay oleh warga kota.

“Segala urusan transaksi (jual beli) peniaga, usahawan Dapur Warisan, Pasar Lambak, Trak Makanan dan Ekspo Komuniti akan menggunakan Sarawak Pay.

“Begitu juga pendaftaran dan pembayaran penyertaan untuk segala aktiviti sukan, rekreasi dan riadah sepanjang penganjuran Agenda Warisan Pintar Old Kuching ini nanti.

“Ini menjadikan Agenda Warisan Pintar Old Kuching 2019 program pertama mengaplikasi penggunakan Sarawak Pay sepenuhnya untuk semua aktiviti.

“Secara langsung kita akan dapat mengajak dan mendidik masyarakat khususnya warga kota Kuching untuk mengenali apakah ekonomi digital sejajar dengan tema program Memperdayakan Komuniti Pintar,” tambahnya.