KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) menetapkan enam jam untuk masa tindak balas penghantaran air ke kawasan terjejas selepas aduan diterima, sebagai tindakan proaktif dalam menghadapi El Nino yang diramal sehingga Mei nanti.

Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi jawatankuasa, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Indeks Prestasi Utama (KPI) yang wajib dilaksanakan oleh Residen di setiap bahagian itu penting bagi memastikan penduduk di setiap pelosok Sarawak yang menghadapi masalah air akibat musim kemarau mendapat bekalan air secepat mungkin.

“Hari ini kami belajar dan memperbetulkan kesilapan serta kekurangan daripada pengalaman tahun lepas dengan berharap dalam masa enam jam selepas aduan diterima oleh Pejabat Residen, air mesti sampai di kampung yang membuat aduan itu.

Uggah dan Fatimah membincangkan sesuatu sempena mesyuarat ‘post mortem’ JPBS di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

“Ini cukup penting kerana air sangat penting dalam kehidupan seharian..kita tidak mahu mendengar sebarang aduan tentang masalah ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ‘post mortem’ JPBS di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Selain itu, Uggah berkata lima helikopter, lima dron, 170 lori, 549 pacuan empat roda dan van, 109 ambulan serta 283 bot juga sudah siap sedia digerakkan dalam menghadapi sebarang kemungkinan akibat musim kemarau ini seperti masalah air dan kebakaran.