Demimu muridku!

MATU: Demi memastikan anak murid mendapat persekitaran kondusif dan selesa, 32 guru lelaki termasuk ahli PIBG sanggup mengorbankan masa cuti dengan mengecat bangunan sekolah.

Guru Besarnya Ali Nikal menjelaskan, gotong-royong itu dilaksana waktu cuti kerana tidak mahu menganggu proses pembelajaran.

“Kita mengecat tujuh bangunan secara gotong-royong. Kos hanya untuk membeli cat dan peralatan, makan minum sikit. Tiada upah,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya, SK Bawang Tian mempunyai 40 guru dan 453 termasuk kelas prasekolah serta sekolah khas.

Katanya, dengan belanja RM4,500 di bawah pembelanjaan PIBG sekolah berkenaan, sekurang-kurang sekolah itu nampak ceria.

“Tanpa upah, kami bekerjsama bersama ahli PIBG dan pekerja swasta untuk gotong-royong ini.

“Selain menjimatkan belanja, sekurang-kurangnya kami boleh bekerjsama dengan ibu bapa pelajar,” katanya.

Sekolah Kebangsaan Bawang Tian terletak di tengah-tengah antara Kampung Bawang dan Kampung Tian dalam kawasan Matu.

Sekolah Kebangsaan Bawang Tian pada suatu ketika dahlulu dikenali sebagai Bawang Tian Combined School dan dibina pada 1964 hasil gabungan daripada dua buah sekolah – Sekolah Hj Hashim di Kampung Tian dan Sekolah Abang Subah di Kampung Bawang.

Disebabkan sesi persekolahan tidak menentu di kedua-dua sekolah, maka kedua-dua sekolah bersetuju untuk mengabungkan sekolah tersebut.

Oleh kerana sekolah ini terletak betul-betul di tengah kedua-dua buah kampung, maka Majlis Tempatan menamakan sekolah itu Bawang-Tian Combined School dirasmi Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Stephen Kalong Ningkan.

SK Bawang Tian tersenarai antara 18 sekolah daif dalam kawasan Parlimen Igan dan masih mengekalkan bangunan kayu sejak awal pembinaannya.

Sekolah ini akan dibina pada Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) dalam Rancangan Malaysia Ke-11.