KUCHING: Institusi-institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibawah tadbiran Persekutuan dan Kerajaan Sarawak harus mengembangkan rangkaian hubungan dengan syarikat korporat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Zaliha Mustafa berkata, memang tidak dapat dinafikan kekangan kewangan merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh institusi-institusi kebajikan di seluruh negara.

“Oleh itu, saya menggesa agar institusi-institusi kebajikan ini mengembangkan rangkaian hubungan mereka dengan syarikat korporat untuk dijadikan sebagai salah satu penyumbang kewangan.

“Malah, saya beranggapan syarikat-syarikat besar sudi memberi sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan Lembaga Pelawat Institusi-institusi JKM Sarawak bersama Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Hafsah Harun di sini, hari ini.

BERBINCANG … Kelihatan Dr. Zaliha Mustafa (kiri) dan Datuk Sri Hafsah Harun (tengah) pada sesi perbincangan Lembaga Pelawat Institusi-institusi JKM Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut Zaliha, institusi-institusi kebajikan juga harus mendekati syarikat-syarikat korporat untuk mendapatkan bantuan kewangan.

“Saya mengambil contoh insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kimkim di Pasir Gudang, Johor apabila JKM menerima banyak sumbangan daripada orang ramai.

“Maka, memang wujud sifat penderma dalam kalangan masyarakat Malaysia, cuma mereka tidak tahu bagaimana untuk menyalurkannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zaliha membangkitkan isu kanak-kanak tanpa identiti diri yang berada di rumah kebajikan.

“Kanak-kanak tanpa identiti amat dekat di hati saya apabila mereka dewasa kelak, sukar untuk menyambung pelajaran, mendapatkan kerja dan berkahwin kerana tiada kad pengenalan.

“Berikutan kanak-kanak ini terdesak untuk berdikari selepas dewasa dan keluar dari rumah kebajikan, mereka melalukan jenayah tidak diingini serta masuk lokap,” ujarnya.

Tegasnya, perkara-perkara sebegini harus dielakkan dan kini menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menyelesaikan masalah terbabit.

Beliau turut memberi jaminan yang isu berkenaan akan diselesaikan tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Sebanyak enam institusi kebajikan dibawah tadbiran Persekutuan menyertai perbincangan terbabit iaitu, Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Kuching, Asrama Akhlak Kuching, Sekolah Tunas Bakti Kuching (lelaki), Taman Seri Puteri Kuching, Sekolah Tunas Bakti Miri (perempuan) dan Desa Bina Diri Kuching.

Institusi kebajikan dibawah tadbiran Kerajaan Sarawak yang turut hadir ialah Pusat Pemulihan Samarahan, Rumah Seri Kenangan Kuching, Rumah Seri Kenangan Sibu dan Rumah Kanak-kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman.