KUCHING: Sarawak belum membuat keputusan muktamad berhubung pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Pengerusi Jawatankuasa Perunding Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata buat masa ini, pihaknya tidak dapat membuat komen mengenai perkara berkenaan sehingga selepas Rang Undang-Undang (RUU) yang dicadangkan itu dilihat oleh anggota jawatankuasa.

“Buat masa ini kami tidak dapat komen kerana belum melihat Rang Undang-Undang itu, tiada maklumat terperinci.

“Walau bagaimanapun, kami menyokong apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang mengenai perkara itu jika kami yakin ia mengandungi peningkatan substantif terhadap hak dan kepentingan negara dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MA63 Sarawak bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong sebelum ini mengumumkan bahawa kabinet pusat bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Sementara itu, Asfia yang juga Speaker DUN berkata isu-isu yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Pemandu MA63 Persekutuan adalah berjalan lancar walaupun masih tiada keputusan muktamad mengenainya.

Bagaimanapun, katanya memandangkan perbincangan berkenaan telah dikelaskan sebagai ‘rahsia’, maka mereka tidak bebas untuk mendedahkan kandungannya pada masa ini.

“Kami perhatikan bahawa ini adalah isu-isu penting kepada Sarawak dan juga kepada negara.

“Oleh itu, kami bersedia untuk menunggu dan dikemas kini selaras dengan jadual yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu MA63 Persekutuan.

“Kami yakin akan mendedahkan kepada orang ramai apabila tiba masanya selepas laporan jawatankuasa dimuktamadkan,” katanya.