MUKAH: Kerajaan Sarawak komited untuk meneruskan pembinaan masjid dan surau untuk kemudahan masyarakat Islam di negeri ini menunaikan ibadah.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha itu termasuk menaiktaraf kemudahan rumah ibadat berkenaan menjadi lebih menarik dan moden.

Usaha murni itu katanya, membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat.

“Salah satu yang berwajah baru dan menarik ialah masjid Daro. Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam tetapi bakal menjadi ikon dan kebanggaan rakyat Daro,” katanya.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melihat replika masjid baharu Daro.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri pada Majlis Pecah Tanah Masjid Daerah Daro dan Perasmian Pesta Daro 2019, hari ini.

Abdul Rahman memberitahu, selain tempat beribadat, kerajaan juga mahu masjid menjadi tempat penyatuan masyarakat.

Susulan itu katanya, struktur pembinaan masjid dan surau dibuat secara khusus selain menyediakan pelbagai kemudahan kepada umat Islam untuk melaksanakan aktiviti yang berkaitan.

“Kita berharap masjid baharu ini nanti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyemarakkan aktiviti kerohanian yang melibatkan penyertaan masyarakat,”katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan Kerajaan Sarawak juga bersikap adil terhadap penganut agama lain melalui penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

“Penubuhan UNIFOR sebagai sebuah agensi kerajaan negeri merupakan cetusan idea bekas ketua menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama.

“Ini juga membuktikan kerajaan adil terhadap semua agama selaras dengan matlamat untuk membina sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan bersatu padu,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie.