Gelaran Maharaja Sungai dirampas perahu Jang Saribas Binladen

BARRACUDA kecundang, gelaran Maharaja Sungai Saribas pada sukan air regata lumba perahu bersempena penganjuran Pesta Bungin Edisi ke-14 dirampas perahu Jang Saribas Binladen 1 selepas menjuarai kayuhan akhir Sakai 30 di sini, petang tadi.

Impian Barracuda untuk mengulangi pencapaian kali keempat selepas tiga tahun berturut-turut memegang gelaran Maharaja Sungai mampu dileburkan oleh anak-anak buah Syafiee Junaidi.

Lebih memeranjatkan anak-anak buah Mohidin Bolhassan itu sekadar berada pada tangga ketiga.

Walau bagaimanapun, Barracuda masih boleh berbangga apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan mengumpul 106 mata dan menerima anugerah pakaian tercantik.

Bagi Jang Saribas Binladen 1, kejuaraan tersebut melayakan mereka memenangi hadiah utama Maharaja Sungai Saribas berupa wang tunai RM5,000 beserta piala dan sijil.

Kayuhan bertenaga pasukan dari Beladin itu seolah-olah sukar ditandingi apabila jauh meninggalkan pesaing lain.

Sungai Saribas seakan serasi dengan mereka apabila turut menjuarai kategori Raja Pecut 30 pekayuh pada hari terakhir perlumbaan.

Sementara pasukan Wali Putih (Pusa) berada pada kedudukan naib juara kayuhan akhir Sakai 30 tersebut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak