Tindakan putar belit Seksyen Enam di media sosial berniat jahat — Ketua Menteri

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyelar tindakan segelintir pihak memutar belit Seksyen Enam Kanun Tanah Negeri menerusi media sosial yang disifatkan sebagai berniat jahat.

Menurutnya, Seksyen Enam sebenarnya adalah untuk kerja-kerja penyukatan tanah komunial dan kemudiannya dibahagi kepada pemiliknya mengikut Seksyen 18.

“Apabila kerja-kerja penyukatan tanah dilakukan dibawah Seksyen Enam bukan bermakna kerajaan hendak mengambil tanah penduduk.

“Analoginya adalah seperti pembinaan rumah panjang yang kemudiannya dibahagikan mengikut bilik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tri Tahunan (TGM) dan sambutan Ulang Tahun Ke-63 Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) di sini, malam kelmarin.

Tegas Abang Johari, Kerajaan Negeri komited dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Pemakai Menua dan Pulau Galau dengan meminda Kanun Tanah Negeri serta mewujudkan “wilayah domain”.

“Kalau ada bukti tanah itu adalah NCR, Pemakai Menua dan Pulau Galau, pastinya menjadi milik rakyat.

“Ini kerana kita menyedari kepentingan tanah kepada sesebuah komuniti dan mereka berhak terhadapnya,” jelasnya.

Kata Abang Johari, komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu tanah turut dibuktikan melalui kesanggupan Kerajaan Negeri membiayai kerja-kerja pengukuran tanah berjumlah RM40 juta pada tahun ini setelah Kerajaan Persekutuan enggan memberi peruntukan dengan alasan belanjawan tidak mencukupi.

Tambahnya, sehingga 31 Disember tahun lalu, seluas 877,135 hektar tanah NCR berjaya disukat perimeter survei manakala 712,000 hektar daripadanya telah digazetkan di seluruh negeri.

“Di peringkat kedua pula, sebanyak 34,920 lot individu telah dikeluarkan surat pemilikan yang merangkumi kawasan seluas 31,341 hektar.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 24,000 lot individu dikeluarkan dibawah Seksyen 13 yang meliputi kawasan seluas 10,512 hektar,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Sim Kui Hian serta Presiden SDNU, Tan Sri William Mawan Ikom.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak