KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak menunjukkan peningkatan tangkapan yang amat ketara dalam semua kategori setakat Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata bagi Kategori Bekalan (pengedar dadah), sebanyak 245 tangkapan dibuat iaitu meningkat 65 peratus daripada 157 tangkapan.

Manakala untuk tangkapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, katanya terdapat 42 tangkapan dibuat yang menunjukkan peningkatan 68 peratus berbanding 25 tangkapan.

Bagi tangkapan Kategori Memiliki pula, beliau berkata telah meningkat sebanyak 37 peratus iaitu 555 tangkapan berbanding 405 tangkapan.

Selain itu, katanya kategori tangkapan di bawah ADB 1985 turut menunjukkan peningkatan 112 peratus di mana seramai 17 pengedar telah ditangkap berbanding lapan tangkapan.

Mohmad berkata tindakan Kategori Pelucuthakan Harta di bawah ADB 1988 yang difokuskan kepada pengedar dadah pula, telah mencatatkan sebanyak RM886,574 iaitu peningkatan sebanyak 126.50 peratus berbanding RM386,727 dalam tempoh sama tahun lepas.

“Saya amat berpuas hati terhadap pencapaian kontinjen Sarawak dan ini adalah prestasi yang amat baik.

“Saya berharap momentum ini dikekalkan untuk kita terus mengekang kegiatan pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Mohmad pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.