DARO : Seramai 120 orang belia menghadiri Seminar Kemahiran Perniagaan Digital Untuk Masa Depan anjuran Jawatankuasa Pengelola Pesta Daro dengan kerjasama Top Event Management di sini, hari ini.

Program yang dikendalikan SAITO University College, Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan itu diadakan bersempena penganjuran Pesta Daro 2019.

Ia diadakan bertujuan untuk memupuk budaya keusahawanan digital dalam kalangan belia di samping memberi penekanan kepada peserta tentang selok-belok bidang berkenaan.

Melalui program itu juga peserta dapat mengenal pasti bidang perniagaan, perancangan, pemasaran selain meneroka peluang-peluang pembangunan perniagaan baharu yang berpotensi untuk diterokai.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata,
program merupakan sebahagian langkah proaktif untuk membina keyakinan golongan muda terhadap kemampuan menggunakan pendekatan baru yang lebih serasi bagi kelompok berkenaan.

Menurutnya, usahawan muda Daro mempunyai potensi untuk berkembang maju dalam segenap aspek namun mereka perlu menggunakan peluang yang disediakan bagi memajukan diri masing-masing.

“Program ini juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai peluang ekonomi digital yang boleh mereka terokai.
“Ekonomi digital membolehkan usahawan memasarkan produk masing- masing secara global tanpa batasan. Peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak muda di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata, kaedah perniagaan hari ini tidak lagi seperti dahulu kerana pasaran produk bukan hanya tertumpu di kawasan setempat sebaliknya semakin meluas.

Ujarnya, usahawan tempatan tidak boleh kekal statik, sebaliknya perlu menaik taraf perniagaan dan pemasaran supaya mampu bersaing dan terus maju ke hadapan.

“Daerah ini akan terus mengalami ledakan pembangunan. Malah, rakyat akan berpeluang menikmati pelbagai kemudahan daripada projek baharu yang bakal disediakan oleh kerajaan.

“Keadaan di Daro hari ini jauh berbeza dengan 40 tahun lalu dan sudah pasti, lebih banyak perubahan akan terus berlaku,” katanya.

Penganjuran program itu bertepatan dengan matlamat pesta Daro yang berhasrat untuk membangunkan golongan belia dalam pelbagai aspek khususnya, sektor ekonomi.

Peserta mengabadikan kenangan beramai-ramai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad sejurus tamat program.

 

Peserta asyik mendengar taklimat daripada penceramah

 

Safiee (duduk dua kanan) hadir memberikan sokongan

 

Program menarik dan tidak membosankan

 

Antara pemimpin masyarakat yang turut hadir