KUCHING FA telah pun melakukan segala-galanya, namun nasib dan tuah tidak menyebelahi mereka apabila jaringan bekas pemain Sarawak, S. Chanturu pada minit ke-93 dalam masa kecederaan menyingkirkan mereka daripada pentas saingan Piala FA 2019.

Berdasarkan persembahan dan peluang yang dimiliki dalam aksi pusingan kedua di Stadium Negeri petang tadi, Kuching FA lebih layak untuk muncul sebagai pemenang, tetapi tuah memihak kepada Felda United.

Berbekalkan sokongan sekitar 2,000 penonton, Kuching FA mencipta sekitar lima hingga enam peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun segalanya menemui jalan buntu.

Ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong menyifatkan kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna buat anak-anak buahnya.

“Kami turun menentang pasukan daripada Liga Super, namun kami mampu memberikan tentangan hebat kepada mereka.

GOL… Hero Felda United, S. Chanturu (empat dari kanan) meraikan jaringan dalam masa kecederaan, minit ke-93, sambil para pemain Sarawak tunduk kecewa dalam aksi di Stadium Negeri petang tadi. Foto GHAZALI BUJANG

“Ternyata nasib tidak menyebelahi kami… banyak peluang telepas begitu sahaja,” kata Ideris.
Sementara itu, pengurus pasukan Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan para pemain telah menunjukkan mutu permainan terbaik setakat ini.

“Para pemain telah berusaha sedaya upaya, melakukan apa yang diarahkan. Inilah aksi terhebat mereka.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana Felda boleh menang. Syabas buat semua pemain kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang saingan,” katanya.

Menurut Fazzrudin, mereka akan fokus terhadap saingan Liga M3 selepas ini.

“Saya percaya pasukan Kuching FA mampu mara lebih jauh selepas ini,” ujarnya.

Kuching FA merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai Liga M3 musim ini setelah melakar dua kemenangan berturut-turut. Mereka mengalahkan Ultimate 2-0 dan membenam Armed Forces 1-0.