KUCHING: Gara-gara cuba mengelak batu, kereta yang dipandu seorang pengarah eksekutif sebuah syarikat hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

Malah, kenderaan lelaki berusia 51 tahun itu turut masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang pegawai Baitulmal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku di Jalan Sultan Tengah, berhadapan dengan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching sekitar jam 6.45 pagi tadi.

“Kemalangan berlaku apabila Toyota Fortuner yang dipandu seorang lelaki cuba mengelak batu lalu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Viva yang dipandu seorang wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya pemandu Toyota Fortuner terbabit yang berasal dari Taman Putri, Lorong Cahya Aman 2C, Bandar Baru Semariang hanya cedera ringan iaitu luka di kaki dan tangan.

Manakala pegawai Baitulmal berkenaan yang berusia 30 tahun dari Bandar Baru Semariang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Toyota Fortuner yang dipandu seorang pengarah eksekutif terbalik selepas terbabas gara-gara cuba mengelak batu di Jalan Sultan Tengah.