KOTA SAMARAHAN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digesa untuk agresif dalam usaha mempromosikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan masing-masing.

Veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Peter Minos berkata, dalam tempoh dua tahun sebelum menjelang Pilihan raya Negeri (PRN) 2021, promosi harus dilakukan secara agresif.

“Selepas logo GPS dilancarkan pada 9 Januari lalu, PBB memang aktif dalam mempromosikan dasar perjuangan GPS.

“Malah, rakyat Sarawak semakin sedar akan hak mereka dengan perjuangan GPS yang mengutamakan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual khas oleh Suara Sarawak.

Menurut Minos, mood rakyat Sarawak untuk memperjuangkan hak Sarawak amat berkobar-kobar.

“Dengan mood ini, saya yakin yang GPS akan menang pada PRN kelak.

“Ini kerana, Sarawak semakin menginginkan pembangunan sama seperti di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu dalaman GPS, Minos menggesa agar perkara terbabit diselesaikan dengan segera.

Katanya, sebelum “berperang” menentang orang luar, masalah dalaman perlu diselesaikan demi rakyat Sarawak.

“Pada PRN kelak kita berdepan dengan musuh sebenar iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak boleh bergaduh sesama sendiri,” ujarnya sambil yakin kebijaksanaan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyelesaikan perkara terbabit.

Beliau turut berkata, semangat untuk menjaga Sarawak dalam kalangan GPS adalah lebih besar daripada isu remeh berkenaan.