SARIKEI: Pembinaan jalan raya pesisir terus menjadi agenda utama di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diperkenalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus membantu melonjakkan sosioekonomi rakyat luar bandar.

Ketua Menteri,Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah berani Kerajaan Sarawak itu memberi manfaat besar selain memudahkan keperluan rakyat.

Malah katanya, pendekatan itu juga berupaya melonjakkan sektor ekonom khususnya pertanian dan perikanan yang menjadi punca pendapatan utama rakyat pesisir.

“Jalanraya pesisir ini membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Kekuatan negeri Sarawak adalah orang kampung sebab itu orang di kawasan luar bandar mesti dibantu.

“Kenapa kita buat jalan pesisir ? Ini kerana, kalau kita lihat jumlah penduduk sarawak seramai 2.8 juta orang, hampir 1.9 juta tinggal di kawasan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rajang dan Jalan Raya dari Sungai Pasi, Sarikei ke Jalan Sibu – Tanjung Manis, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg disambut meriah sebaik tiba di Sarikei

Beliau berkata, keputusan kerajaan mengumumkan peruntukan besar dalam Belanjawan 2019 bertujuan memastikan pembangunan lebih agresif dapat dilaksanakan di Sarawak.

Peruntukan itu katanya, turut memberi tumpuan terhadap pembangunan luar bandar bagi melengkapi keperluan asas yang diperlukan oleh rakyat seperti jalan raya, air bersih dan elektrik.

“Di bawah kepemimpinan GPS, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan kemudahan dapat dirasai secara adil oleh segenap lapisan rakyat. Pemimpin GPS bukan penipu, kalau dia cakap dia buat, dia akan buat,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan kerajaan tetap akan meneruskan agenda pembangunan ekonomi digital bagi memastikan rakyat Sarawak tidak ketinggalan dalam sektor ekonomi alaf baharu itu,

Malah katanya, pembinaan prasarana yang berkaitan juga akan tetap diteruskan selaras dengan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Pembangunan Digital Ekonomi Sarawak tetap diteruskan bagi merapatkan jurang digital di antara Sarawak dengan kawasan yang lebih maju di Malaysia.

“Pada masa sama kita juga akan membina 300 menara telekomunikasi tahun ini untuk meningkatkan tahap capaian dan kepantasan internet di seluruh Sarawak termasuk di kawasan Sarikei,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari bersama tetamu jemputan yang lain.