SPAOH: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM8.4 juta untuk projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) di kawasan Saribas melibatkan Kampung Mangut dan Bungin dalam tempoh dua tahun ini.

Projek SPK Mangut diperuntukan RM5.5 juta dan untuk fasa pertama ia melibatkan pembinaan 40 lot daripada keseluruhan 178 lot.

Kerja secara rasmi bermula 5 April (Jumaat) dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu Oktober 2020 oleh Ah Li Contractor Sdn. Bhd.

Sementara itu, SPK Bungin yang bermula Julai tahun lalu dijangka siap Julai tahun ini (tempoh 12 bulan) melibatkan pembinaan 96 lot dengan kos RM2.9 juta melalui kontraktor, Great Singai Construction.

Skop projek termasuk menembok tanah, pembinaan parit konkrit dan jalan berturap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam yang ditemui memberitahu, kawasan DUN Saribas amat bertuah kerana mendapat perhatian kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menampung keperluan kampung-kampung yang semakin padat.

“Ini membuktikan Kerajaan Sarawak pimpinan GPS memberi penekanan kepada keperluan generasi muda yang sukar membina rumah akibat ketiadaan tapak.

“Perkara ini sering diutarakan oleh wakil rakyat di luar bandar yang mahu SPK ditambah di setiap kampung,” katanya.

Beliau bercakap demikian selepas menyaksikan penyerahan tapak projek oleh Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong Anthony Aboi kepada kontraktor bagi projek SPK Mangut fasa satu di sini, semalam.

Razi menyifatkan projek tersebut yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak sebagai inisiatif menyediakan tempat yang tersusun dalam mewujudkan perkampungan baharu.

“Saya yakin ia akan memberi manfaat kepada generasi muda yang sudah berumah tangga untuk membina kediaman sendiri,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, banyak projek SPK lain sudah dimajukan dan menunggu pertimbangan untuk kelulusan bagi keperluan di Saribas pada masa akan datang.