MUKAH: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sarawak harus mencontohi usaha PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru di Miri yang menawarkan subsidi pengangkutan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MIMBAR) Sarawak Omar Immun berkata, usaha itu memberi cetusan idea kepada PIBG lain dalam membantu pelajar kurang mampu.

Beliau berkata, ia sangat membantu dan perlu dicontohi semua PIBG serta wakil rakyat di negeri ini.

“PIBG sekolah itu tawar subsidi pengangkutan pelajar sebagai usaha murni dan terpuji. Program Pengangkutan Pelajar Bersubsidi (PPB) pertama seumpamanya di Sarawak bermula hari ini dan merupakan suatu usaha sangat dialu-alukan.

“Mapim Sarawak memuji tindakan Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon yang menggerakkan inisiatif itu bersama PIBG SMK Baru membabitkan 60 pelajar,” katanya.

Tambahnya, usaha ini suatu tindakan murni membantu ibu bapa serta pelajar dalam memastikan masalah keciciran pelajar dalam pembelajaran dapat diatasi.

“Tawaran membayar hanya RM30 sebulan dan bakinya dibiayai daripada subsidi berkenaan di samping dapat membantu pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Omar yang juga Ketua Penerangan Mapim Kebangsaan menambah, PIBG diharap terus proaktif dalam merencanakan dan merancang kebajikan pelajar dengan harapan pelajar terus bersemangat serta tidak tercicir ke sekolah.

“Isu kenaikan harga barang dan kesan ekonomi semasa kurang stabil sedikit sebanyak memberikan impak perbelanjaan kepada sebahagian besar isi rumah di negeri ini,” katanya.

Jelasnya, pemberian subsidi seperti ini sangat membantu dan ia perlu dicontohi semua wakil rakyat lain di negeri ini termasuk syarikat besar yang prihatin.

“Menjadi harapan kepada kita semua untuk memastikan kebajikan pelajar dipertingkatn dan diperbaiki dari semasa ke semasa agar pendidikan di negeri ini terus subur dan maju jaya,” katanya.