KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita maut apabila keretanya hilang kawalan lalu terbabas memasuki parit berair.

Mangsa dikenali sebagai Ainul Khaliza Bolhi,38, dari Kampung Haji Baki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku di Jalan Kota Samarahan/ Sadong Jaya sekitar 1.40 petang hari ini.

“Mangsa dari arah Sadong Jaya menuju ke Asajaya dan semasa melalui selekoh, keretanya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki parit berair.

“Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson menambah ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan kereta mangsa di tempat kejadian selepas dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki parit berair.