KUCHING: Tindakan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak kaedah bayaran kontra RM1 bilion yang dipersetujui sebelum ini dengan Kerajaan Sarawak bagi menangani isu sekolah daif di negeri ini menimbulkan kekecewaan kerana pasti melambatkan proses pembangunannya.

Pada Februari lalu, kaedah bayaran kontra tersebut dipersetujui antara Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Namun dalam perkembangan terbaharu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong menjelaskan KPM tidak mahu bayaran kontra sebaliknya mereka mahu bayaran pendahuluan.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie memberitahu, ternyata persetujuan asal telah dipinda dengan kaedah lain.

“Bagi KGBS, tindakan tersebut sudah pasti melambatkan usaha pembangunan sekolah-sekolah daif di Sarawak.

“Lebih terkesan akan menimbulkan kekecewaan dalam kalangan warga sekolah terbabit,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Justeru, KGBS merayu agar sikap prihatin Maszlee dapat menimbang semula persetujuan yang telah disepakati untuk mengggunakan pembayaran RM1 bilion daripada Kerajaan Sarawak membangunkan sekolah daif dengan segera.

“Warga sekolah menunggu terlalu lama prasarana sekolah yang mereka idamkan menjadi realiti,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan agar isu pendidikan ini tidak perlu dipolitikkan.

Tambahnya, andai ia bebas dipolitikkan, KGBS khuatir natijahnya akan merugikan anak bangsa sendiri.

“KGBS menggesa kedua-dua kerajaan sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri dapat mencari resolusi lebih memihak kepada kepentingan dan kebajikan warga sekolah-sekolah yang terlibat.

“KGBS menegaskan agar jangan ada pihak kerajaan yang bermain sorong tarik dengan keputusan yang dibuat sebelum ini.

“Kalau sebelum ini Kerajaan Pusat melalui KPM bersetuju menerima bayaran kontra RM1 bilion daripada Kerajaan Sarawak, KGBS amat mengharapkan agar kaedah itu patut diterima secara baik supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa dan kondusif,” jelasnya.