KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia mempertimbang untuk menyokong  Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 jika semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasuk bersama dan disebut dalam Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.

Ahli Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof berkata ini kerana bagi GPS, MA63 amat penting dalam menggariskan hak Sarawak yang sudah dipersetujui ketika membentuk Malaysia.

“Kita kena ingat dalam membentuk Malaysia dulu, Sarawak dan Sabah adalah sebuah negara dan mereka melepaskan kewarganegaraan itu untuk menjadi sebuah negeri dengan persetujuan dan jaminan bahawa kita akan diberikan keistimewaan dan hak-hak tertentu.

“Kalau semangat MA63 tidak dimasukkan ia menjadi kegusaran kepada hak rakyat Sarawak itu sendiri,” katanya mewakili GPS membahaskan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Fadillah berkata GPS akan menyokong pindaan berkenaan dengan syarat kerajaan persekutuan memberi aku janji bahawa mereka akan meminda perlembagaan seterusnya jika Jawatankuasa Pemandu mencapai persetujuan dalam apa saja perbincangan dalam perkara yang telah dirundingkan antara Sarawak, Sabah dan Persekutuan.

Wan Junaidi ketika membahaskan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan itu harus memulihkan perlembagaan kepada yang digubal pada 1963 dan bukan memberi status sama rata.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan 1963, tidak ada dinyatakan kita (Sabah dan Sarawak) sebagai rakan sekutu.

“Perbezaannya hanya kita (Sabah dan Sarawak) ada keistimewaan dan perlindungan sendiri yang sudah dimasukkan dalam perlembagaan.

“Daripada sudut rakan sekutu itu tidak wujud, jadi itulah kenapa kami (GPS) amat perlu memikirkan supaya semangat MA63 itu dimasuk bersama dalam pindaan perlembagaan ini,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa membentangkan bacaan kali kedua RUU ini berkata kerajaan mencadangkan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi memperuntukkan semula peruntukan mengenai negeri-negeri persekutuan sebagaimana kedudukan peruntukan tersebut semasa Persekutuan Malaysia dibentuk, dengan ubah suaian yang perlu.

“Cadangan pindaan ini merupakan suatu keputusan yang wajar dalam usaha kerajaan merealisasikan tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak yang dikemukakan dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksa aan MA63,” katanya.

Cadangan pindaan Fasal 2 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah seperti berikut:

“Pindaan Perkara 1
2. Perlembagaan Persekutuan dipinda dalam
Perkara 1 dengan menggantikan Fasal (2) dengan Fasal yang berikut:

“(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada—
(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan
(b)Negeri-Negeri Borneo, iaitu, Sabah dan
Sarawak.”.”

Mahathir berkata Sabah dan Sarawak turut menikmati hak-hak istimewa yang lain seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, yang termasuklah pemberian khas
kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta peruntukan khas bagi menjamin kepentingan Sabah dan Sarawak berhubung dengan beberapa perkara, antaranya seperti tanah, kedudukan istimewa anak negeri di Sabah dan Sarawak, kuasa perundangan ke atas perkara-perkara yang lebih banyak kepada Sabah dan Sarawak berbanding dengan negeri-negeri lain melalui Senarai Tambahan kepada Senarai Negeri dan Senarai Tambahan kepada Senarai Bersama di bawah Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menambah pindaan yang dicadangkan terhadap Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tidak akan sama sekali mengubah usaha rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak yang sedang giat diadakan pada masa ini melalui Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya usaha rundingan tersebut masih akan diteruskan sehingga suatu kata sepakat yang dapat memuaskan hati semua pihak dapat dicapai.

“Sehubungan ini, ingin saya tegaskan bahawa Malaysia
hendaklah dilihat sebagai suatu entiti tanpa memisahkannya kepada Malaysia Timur dan Malaysia Barat di mana kekayaan dan keuntungan yang diperolehi oleh Malaysia
perlu diagihkan kepada semua negeri di Malaysia secara adil dan saksama mengikut keperluan.