KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara prinsip tidak menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, tetapi meminta ia dibincangkan dengan lebih terperinci.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tindakan pihaknya membantah pindaan berkenaan kerana tidak mahu ia dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Sebab itu kami mahu pindaan ini ditangguhkan.

“Kita menyokong secara prinsip pindaan ini tetapi ada peruntukan tidak memenuhi kehendak GPS,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas usul kerajaan itu tewas di Dewan Rakyat dalam belah bahagi, semalam.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan adalah wajar untuk pindaan itu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan untuk diperincikan.

Jelasnya pindaan secara terperinci dan menyeluruh perlu bagi memastikan RUU berkenaan memenuhi dan mencapai aspirasi dan kehendak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selepas diperincikan di peringkat Jawatankuasa Pilihan, kemudian baru bawa balik ke Parlimen… kalau semuanya dengan baik, kita akan sokong,” katanya.

Justeru beliau berharap Jawatankuasa Pemandu MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berbincang lanjut untuk membuat pindaan secara menyeluruh mengenai perkara itu.

“Selepas semua perbincangan dipersetujui, kemudian baharu pinda,”