KUCHING: Sebanyak 2,300 kotak bir tin jenis Heineken seludup dirampas pagi tadi, hasil daripada Ops Libas Risik yang dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, SAC Dato Khaw Kok Chin berkata tangkapan dibuat pada jam 1.30 pagi dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM516,000.

Menurut beliau, kesemua bir berkenaan dibawa menggunakan dua buah lori dari Sibu untuk pasaran tempatan di sini.

“Pasukan operasi mengekori dua buah lori terbabit dari Sibu sebelum tangkapan dilakukan di Serian setelah lori berhenti di Kilometer 90, Jalan Kuching-Sri Aman berhadapan SJK (C) Sungai Menyan.

“Pemeriksaan mendapati setiap lori terbabit membawa 1,150 kotak bir tin jenis Heineken yang tidak dibayar cukai,” katanya pada siding media di ibu pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.

Kok Chin menambah kedua-dua pemandu lori berusia 24 tahun dan 22 tahun termasuk kelindan mereka yang berusia 33 tahun dan 26 tahun turut ditahan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.