KOTA SAMARAHAN: Penganut Kristian Anglican di sini bakal mempunyai bangunan gereja baharu yang lebih cantik dan luas pada penghujung Mei ini.

Gereja Anglican St. Francis yang hampir siap dibina menelan kos sebanyak RM5 juta.

Menurut paderi yang bertanggungjawab, Rev. Canon Dennis Gimang, gereja dua tingkat itu akan ‘disucikan’ pada penghujung September tahun ini.

Katanya, bangunan berkenaan boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu masa dan mempunyai lif untuk kegunaan warga emas.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan lawatan bagi meninjau sendiri perkembangaan kerja-kerja pembinaan di sini, hari ini.

Kata Canon, bangunan gereja itu kini 90 peratus siap sekiranya tiada perubahan dalam kerja-kerja pembinaan.

“Bagi mewakili komuniti gereja dan penganut anglican, saya merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang menyumbang sebanyak RM1 juta untuk kos pembinaan gereja ini melalui Unifor.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Uggah yang merupakan Pengerusi Unifor kerana menghulurkan bantuan dan sumbangan,” ujarnya.

Uggah ditemani Pengarah Unifor, Datuk Ngenang Janggu dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Dr. Richard Rapu meluangkan masa selama sejam di tapak pembinaan gereja terbabit.