SARIKEI: Semangat kerjasama dalam kalangan jawatankuasa pengurusan masjid Al-Mutaqqin menjadi kunci kejayaan mereka memperoleh Standard Penarafan Bintang Masjid Sarawak (SPBMS) oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), semalam.

Al-Mutaqqin mendapat penarafan empat bintang selepas melalui proses audit yang dijalankan sejak tahun lalu.
Selain Al-Muttaqqin, dua lagi masjid turut mendapat penarafan empat bintang iaitu Darul Ehsan Piasau Jaya Miri dan Masjid Setia Raja Mukah.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqqin, Abang Ibrahim Kipni berkata, kejayaan tersebut menyuntik semangat mereka untuk terus melakukan yang terbaik bagi meningkatkan kualiti masjid.

“Bagi kami, anugerah ini amat besar maknanya kerana membantu kami memperkasa peranan masjid Al-Mutaqqin sebagai pusat aktiviti sosial umat Islam Sarikei.

“Saya menganggap penarafan ini sebagai cabaran untuk kami mengekalkan prestasi dan melanjutkan usaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada masyarakat Islam Sarikei,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Standard Penarafan Bintang Masjid Sarawak adalah indikator pengurusan masjid yang cemerlang daripada sudut kualiti iaitu pengurusan, pengimarahan, kebersihan dan keceriaan masjid.

Dalam pada itu, lima Bintang dikategorikan cemerlang, empat bintang (sangat baik) dan tiga bintang (baik).

“Saya mewakili seluruh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Mutaqqin ingin mengucapkan terima kasih kepada MIS dan JAIS kerana memperkenalkan SPBMS tahun ini,” tambahnya.