BETONG: Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Betong berjaya menjerat dua kaki syabu yang mana salah seorangnya merupakan guru sekolah rendah.

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong Deputi Superintendan Mohd Fahdil Antum Abdullah memberitahu, pihaknya menahan seorang penjawat awam (guru) dalam serbuan di Kampung Tengah Beladin dekat sini, semalam kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Suspek berusia awal 40-an itu ditahan sepasukan anggota BSJN IPD Betong di sebuah rumah tidak bernombor, kira-kira 10:00 pagi,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelas Fahdil, pihaknya menemui satu bekas besi mengandungi 22 keratan straw lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 4.3 gram.

Guru berkenaan disiasat lanjut di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam satu lagi serbuan berasingan di kampung yang sama katanya, polis menahan seorang lelaki berumur sekitar 30-an.

“Suspek dikatakan menyembunyikan satu peket plastik lutsinar berisi syabu dengan berat kasar 5.6 gram di dalam lampu suluh kecil.

“Pemuda berkenaan sebelum ini pernah ditangkap juga atas kesalahan dadah,” jelasnya menambah, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952.

Jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan.

Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Betong untuk tindakan lanjut.