TANJUNG MANIS: Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan di Pantai Belawai bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha itu melibatkan pembinaan pelbagai prasarana untuk kemudahan orang ramai yang berkunjung di pantai berkenaan.

“Peruntukan ini diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari ketika menyempurnakan majlis penanaman tukun tiruan tahun lalu,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek naiktaraf pantai itu, semalam.

Len Talif meninjau tapak projek naiktaraf pantai Belawai

Pantai Belawai mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan dengan adanya persekitaran yang tenang dan jajaran pantai yang bersih selain beberapa tarikan lain yang menarik di kawasan berkenaan.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata, usaha memperelokkan pantai itu memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya mereka peniaga kecil.

Kehadiran lebih ramai pengunjung katanya, bukan sahaja ‘menghidupkan’ suasana pantai tetapi juga membantu merancakkan ekonomi penduduk.

“Melalui kemudahan baharu ini, kita menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pengunjung di samping membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Sehubungan itu, saya mahu penduduk setempat memberi kerjasama untuk sama-sama menjaga kebersihan dan mengekalkan prasarana yang akan kita bina nanti,” katanya.

Sempat berbincang mengenai projek-projek yang akan dilaksanakan