BOTOL susu berusia 54 tahun menjadi tarikan di booth Kampung Semarang dalam pertandingan Kampung Mensia Marek.

Dalam pertandingan Kampung Mensia Marek terdapat banyak barang-barang lama milik penduduk kampung sekitar Darul Hana dipamerkan, Kampung Semarang mengetengahkan konsep rumah dango dan jungka.

Misniah Mail, 47 tahun berkata mereka mengetengahkan konsep ‘rumah dango dan jungka’ serta barang-barang lama yang dimiliki oleh penduduk Kampung Semarang sendiri.

“Konsep rumah dango adalah untuk menghidupkan suasana masa dahulu, ia akan di bina di kawasan belakang rumah untuk menjadi tempat istirehat setelah seharian penat bekerja.

“Dahulu, jungka dijadikan tempat untuk menjemur padi dan kain, hari ini kami meletakkan barang-barang lama untuk dipamerkan di atas jungka tersebut,” katanya.

BOTOL SUSU… botol susu berusia 54 tahun bersama alat pembancuh susu yang dipamerkan di Booth Kampung Semarang, semalam.

Namun, apa yang menjadi tarikan di booth milik penduduk Kampung Semarang ini adalah botol susu yang berusia 54 tahun yang dimiliki oleh salah seorang penduduk kampung tersebut.

Kata Misniah, botol susu tersebut adalah botol susu yang lama digunakan pada suatu ketika dahulu.

“Botol susu ini adalah satu barangan yang unik di booth pameran kami dan ia masih lengkap dengan alat pembancuh susu.

“Botol susu ini diperbuat daripada kaca dan dilengkapi dengan satu puting lama dan ia merupakan sesuatu barang yang unik pada zaman ini,” jelasnya.

Penduduk kampung bergotong-royong dalam menyiapkan booth pameran untuk dipertandingkan dalam Kampung Mensia Marek di Karnival Darul Hana 2019.

PENDUDUK Kampung Semarang bergambar di ‘rumah dango’ yang dipamerkan di booth milik mereka.

Selain itu, gerai milik mereka juga ada mempamerkan tempayan atau kebok lama yang biasa diletakkan di tangga rumah orang dahulu untuk tujuan mencuci kaki.

Tempayan yang berukir naga biasanya digunakan oleh orang terdahulu menyimpan beras kerana pada ketika tiada bekas lain yang boleh digunakan.

Misniah menambah, selain mempamerkan barangan lama mereka turut mempamerkan gambar-gambar penduduk awal Kampung Semarang dan suasana kampung suatau ketika dahulu.

“Gambar-gambar yang ada di sini adalah gambar penduduk awal yang menetap di Kampung ini. Mereka boleh dikatakan orang yang membuka kampung ini suatu ketika dahulu.

“Suasana kampung juga jauh berubah dari segi jambatan dan sebagainya. Jadi gambar yang dipamerkan di sini merupakan gambar yang memiliki latar belakang Kampung Semarang suatu ketika dahulu,” jelasnya.

Barang yang dipamerkan adalah milik penduduk kampung sendiri dan berkemungkinan akan diambil oleh pihak muzium untuk dipamerkan dalam Muzium Darul Hana nanti.

Menurut Misniah lagi, barangan milik penduduk kampung ini akan diberi secara sukarela atau dijual kepada pihak muzium untuk kegunaan mereka.

“Penduduk kampung boleh memberi secara sukarela atau menjual kepada pihak muzium barang-barang lama yang mereka miliki.

“Perkara tersebut masih dalam perancangan dan belum ada apa-apa keputusan dalam hal berkenaan,” ujarnya.

Dia sebagai wakil penduduk kampung berharap agar mereka dapat memperolehi kemenangan dalam pertandingan Kampung mensia marek ini kerana mereka bukan sahaja mempamerkan barangan lama malah dango dan jungka mereka boleh diduduk dan sesuai digunakan untuk merakam gambar.

Pameran tersebut diadakan adalah untuk memperkenalkan barang lama dan konsep kehidupan mereka pada suatu ketika dahulu yang tidak dirasai oleh generasi kini.

Karnival Darul Hana 2019 yang mengetengahkan konsep mensia marek cukup memberi aura baru dan kelainan dalam pameran-pameran yang diadakan dalam karnival lain.

Konsep tersebut mampu menghidupkan suasana zaman dahulu khususnya untuk penduduk sekitar Darul Hana dengan memberi peluang kepada mereka dalam menjayakan aktiviti tersebut.

Generasi muda juga dapat mempelajari dan memahami konsep kehidupan masyarakat zaman dahulu melalui pameran ini.