BAU: Program suntikan vaksin untuk kanak-kanak yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jagoi di sini Selasa lepas, menyelamatkan seorang murid darjah satu sekolah berkenaan yang menjadi mangsa penderaan ibu angkat yang juga makciknya.

Kekejaman wanita itu terbongkar selepas seorang daripada doktor yang terlibat dalam program berkenaan melihat begitu banyak kesan luka baru dan lama pada badan, tangan dan kaki kanak-kanak terbabit, yang seterusnya melaporkan kepada pihak sekolah dan polis.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon yang mengesahkan kejadian berkata bertindak atas laporan diterima, pihaknya menangkap wanita terbabit pada Rabu lalu sekitar jam 4.50 petang di Kampung Bogag, Jalan Serikin Bau.

Katanya wanita itu dikenali sebagai Suzie Asminalia Alapis berusia 25 tahun, sudah berkahwin dan hanya suri rumah.

Menjelas lanjut, Poge berkata kanak-kanak bernama Nursyafika Aien Mahdi yang masih berusia enam tahun itu diambil sebagai anak angkat oleh suspek dan suaminya pada tahun 2017.

Beliau menambah mangsa merupakan anak kandung kepada kakak suspek yang sudah bercerai dengan suaminya.

Katanya ibu kandung mangsa sudah berkahwin baharu dan menetap di Miri manakala ayah kandungnya bekerja di tempat lain.

“Suami suspek menyatakan suspek sering mencubit mangsa semasa di rumah kerana memarahinya dan untuk menegurnya.

“Suami suspek sudah berkali-kali mengingatkan suspek supaya tidak berkasar semasa mengajar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Poge, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Bau.

Suspek yang disyaki mendera anak angkatnya.