SARIKEI : Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan gambar atau maklumat tidak sahih mengenai gempa bumi.

Ketua Balai Bomba Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, tindakan segelintir individu menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai bencana alam itu menyebabkan orang ramai panik.

Menurutnya, orang ramai perlu memastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum berkongsi atau menyebarkannya melalui laman sosial.

“Jangan sebar apa-apa informasi yang tidak jelas atau belum pasti kesahihannya. Kita tidak mahu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

“Pada masa yang sama, mereka boleh menghubungi kami atau mana-mana agensi berkaitan untuk mendapatkan kepastian,”katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Mahmudin (duduk kiri) mengabadikan kenangan bersama peserta selepas menyampaikan taklimat pencegahan kebakaran di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei.

Menyentuh mengenai satu laporan gegaran yang tular di laman sosial kelmarin, Mahmudin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu.

Beliau menegaskan, tindakan menyebarkan maklumat atau gambar palsu boleh menyebabkan mereka ditahan dan didakwa oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tidak perlu nak sebar kalau belum pasti betul,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia Cawangan Sarawak ketika dihubungi Suara Sarawak menafikan berlakunya gempa bumi di Sarikei.

Jurucakap agensi itu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau rekod berhubung kejadian berkenaan.

Sebelum sebuah portal melalui laman sosial Facebook melaporkan berlakunya gegaran 3.8 magnitud dengan kedalaman 10 kilometer, pada jam 5.00 pagi di bahagian ini.

“Orang ramai hanya perlu merujuk agensi atau jabatan yang telah diberi mandat berkaitan sebarang isu sama ada di peringkat daerah atau negeri, jika ingin mengetahui sebarang perkembangan mengenai bencana alam,” tegasnya.

KOMITED … Mahmudin menyampaikan taklimat cegah kebakaran kepada kakitangan JKR Sarikei.