IGAN : Kemunculan dua ekor buaya yang panjangnya lebih lima meter menyebabkan orang ramai yang menggunakan feri Igan, kelmarin, tergamam.

Aksi kedua-dua reptilia itu sempat dirakam orang ramai seterusnya menjadi tular sejak semalam.

Dalam rakaman netizen yang berdurasi 49 saat itu, pasangan repitilia terbabit berenang ke muara sungai, kemudiannya bertempur di hadapan pangkalan feri sebelum menghala ke hulu dan menghilangkan diri.

Menurut seorang pengguna feri, Aziz Julaihi, 44, sebelum ini, mereka kerap melihat buaya timbul di atas permukaan sungai itu terutama ketika air pasang.

Kehadiran buaya itu katanya, sering dilihat berhampiran feri yang digunakan oleh penduduk setempat untuk ke Matu atau Mukah.

“Dalam kejadian semalam, kami sempat melihat buaya ini, tetapi kali ini bukan seekor sebaliknya dua ekor. Saiznya pula memang besar dan menakutkan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Aziz berkata, kehadiran buaya berkenaan membimbangkan penduduk terutama nelayan yang menggunakan sungai Igan untuk mencari sumber rezeki.

Malah katanya, penduduk juga kerap terserempak dengan kelibat buaya gergasi berjemur di tebing sungai sewaktu air surut.

“Buaya ini kerap timbul dan seolah-olah sudah biasa dengan persekitaran kawasan feri ini. Ia kelihatan tidak takut dengan manusia.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berwajib agar melakukan pemantauan bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

PIC : Aksi dua ekor buaya yang sempat dirakam orang ramai di sungai Igan.