MALUDAM: Ketua Menteri Sarawak menegaskan, pentadbirannya tidak terhegeh-hegeh untuk mengambil alih projek pembangunan yang dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, tindakan tersebut diambil sebagai sikap bertanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan yang membatalkan projek Jambatan Batang Lupar dan pembinaan sekolah daif di Sarawak diibarat sebagai buruk siku.

“Ada dua projek buruk siku Kerajaan Persekutuan iaitu pembinaan Jambatan Batang Lupar dan sekolah daif di Sarawak.

“Sebelum ini pembiayaan pembinaan Jambatan Batang Lupar dipersetujui secara kongsi, masing-masing separuh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak. Tetapi ia dibatalkan selepas kerajaan berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Projek Rakyat SPK Maludam Fasa Satu dan Masjid Kampung Baharu di sini semalam.

Kata Abang Johari lagi, bagi pembinaan sekolah daif di Sarawak, sepatutnya ia di bawah bajet Kerajaan Persekutuan meskipun Sarawak pernah menawarkan pinjaman tetapi Kerajaan Persekutuan tetap menunggu kita mengeluarkan dana.

“Justeru, saya beritahu Manyin (Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong), kita terpaksa campur tangan membela nasib sekolah negeri ini.

“Buktinya, hari ini kita bagi RM30 juta untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam,” jelasnya.

Abang Johari memahami keadaan sekolah daif di Sarawak yang kurang selesa dan Ketua Menteri mengakui, beliau sendiri membuat tinjauan ke beberapa sekolah daif negeri ini.

Mengulas mengenai Skim Pembesaran Kampung (SPK) pula, Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM40 juta untuk projek terbabit.

Katanya, ini adalah usaha Kerajaan Sarawak menyediakan penempatan tersusun kepada penduduk terlibat.

“Kita melaksanakan SPK mengikut cara baharu apabila Kerajaan Sarawak menanggung kos menembok tanah, membuat jalan raya berturap, rumah tersusun, parit konkrit termasuk penyediaan kawasan kemudahan seperti sekolah dan taman riadah.

“Ini adalah subsidi kita sediakan kepada orang kampung dan dana SPK akan terus bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.