MALUDAM: YB pembulak! – gelaran pernah dilemparkan kepada Ahli Parlimen Batang Lupar ekoran penangguhan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengakui sering dipersoalkan tentang projek itu termasuk beberapa pembangunan di kawasan Batang Lupar.

“Rakyat sering bertanya pembangunan pernah diumum sebelum ini dan mereka meletak harapan tinggi terhadap perkara itu.

“Rakyat menggunakan media sosial menempelak saya dan menganggap saya pembohong ekoran projek Jambatan Batang Lupar belum berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pecah Tanah Projek Rakyat Skim Pembesaran Kampung Maludam Fasa Satu dan Masjid Kampung Baharu di sini semalam.

“Pada saya, peruntukan membina kemudahan untuk rakyat tidak seharusnya ditarik balik. Saya berasa muak dengan alasan yang diberi orang Putrajaya bahawa dana tidak mencukupi,” tegasnya.