KUCHING: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengusul pindaan Fasal 160(2) Perlembagaan Persekutuan disebabkan tempoh masa yang tidak mencukupi untuk mereka berbuat demikian.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan jika Ahli Parlimen GPS hendak membuat usul berasingan berhubung dengan pindaan kepada Perkara 160(2), mereka perlu memberi notis atau pemberitahuan selama 14 hari di bawah Peraturan 27(3).

Maka dengan itu, katanya Ahli Parlimen GPS, mengikut peraturan Dewan Rakyat, tidak dibolehkan membawa usul untuk meminda fasal-fasal lain Perlembagaan di luar Fasal 1(2) yang dibawa oleh Kerajaan.

“Ini tidak dapat dilaksana sebut seperti apabila kerajaan meletak RUU Pindaan kepada Fasal 1(2), masa bersidang hanya tinggal adalah lima hari sahaja. Padahal usul untuk meminda Fasal 160(2) Perlembagaan perlu notis atau pemberitahuan selama 14 hari.

“Kalau Ahli GPS hendak meminda Perkara 160(2) ia akan diletak sebagai usul persendirian dan disenarai  dalam Kertas Urusan Harian Parlimen sebagai perkara yang terakhir, dan tidak mungkin boleh diketengahkan dalam persidangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi

 

Beliau mengulas kenyataan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang mempersoal kenapa Ahli Parlimen GPS tidak membangkit persoalan meminda Fasal 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Maka dengan hal yang demikian, Wan Junaidi berkata GPS tidak membentangkan usul untuk meminda Perkara 160(2) tapi sebaliknya mencadangkan untuk mengadakan Jawatankuasa Pilihan Khas yang tidak terikat dengan peraturan Dewan yang dinyatakan beliau, dan boleh membincang semua perkara dalam perlembagaan.

“Atas sebab itulah maka Ahli GPS tidak membuat cadangan meminda Fasal 160(2) semasa kerajaan membuat usul untuk meminda Fasal 1(2) Perlembagaan kerana halangan-halangan Peraturan Dewan Rakyat seperti yang disebut di atas,” katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi berkata usul kerajaan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan secara prinsipnya boleh dicadang untuk dipinda oleh mana-mana Ahli apabila usul tersebut telah di letak atas meja Ahli dalam Dewan Rakyat dengan sehari notis atau pemberitahu sahaja, kata

Katanya ini termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan yang dibentangkan pada 4 April atau pun RUU pindaan yang dibentang pada 9 April lalu.

“Tetapi, Ahli tidak boleh membuat usul cadangan untuk meminda Fasal-Fasal lain dalam Perlembagaan.

“Contoh untuk meminda Fasal 160(2) Perlembagaan. Kalau dibuat ia akan di klasifikasi sebagai usul berasingan dan tertakluk kepada beberapa peraturan lain,” katanya.