BUKIT Kinyau mungkin satu nama yang agak asing namun bagi penduduk setempat khususnya Tanjung Manis, kawasan ini sememangnya cukup terkenal sebagai pengeluar papan suatu ketika dahulu.

Dihuni oleh lebih 200 penduduk, Bukit Kinyau yang dipercayai wujud sejak awal tahun 1950 an kini semakin berkembang menjadi sebuah perkampungan tetap dan mula menikmati pembangunan.

Perkampungan yang mempunyai lebih 60 buah rumah ini hanya dapat dihubungi melalui jalan sungai dari Sarikei dan Tanjung Manis.

Mohd Bohari Mohd Jemat

Ketua Kampung, Mohd Bohari Mohd Jemat 73, berkata, Bukit Kinyau mendapat nama daripada Sungai Kinyau yang pernah menjadi laluan penting penduduk.

“Sebelum wujudnya perkampungan, kawasan ini dahulunya hutan tebal yang ditumbuhi pokok paya bakau. Bagaimanapun, ia mula menjadi tumpuan penduduk selepas sebuah kilang papan dibina di kawasan itu.

“Kilang papan yang dipercayai dibina sekitar tahun 1957 itu menarik kehadiran anak- anak kampung Belawai, Jerijeh, Rajang, Selalang dan Matu Daro untuk datang mencari rezeki di situ. Seingat saya purata gaji yang kami ketika itu terima hanya RM100 sebulan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Mohd Bohari berkata, pekerja pada mulanya tinggal di kediaman yang disediakan majikan kilang berkenaan sebelum mendirikan rumah persendirian.

Bermula daripada penempatan kecil itu katanya, kawasan itu akhirnya menjadi sebuah perkampungan yang dikenali Bukit Kinyau hari ini.

“Bagaimanapun operasi kilang itu tidak kekal lama apabila ditutup sepenuhnya sekitar tahun 1990 an. Sejak itu, penduduk menjadi petani dan nelayan untuk meneruskan kesinambungan hidup,” ujarnya.

Menurutnya, seiring dengan perkembangan semasa, Bukit Kinyau kini mula menikmati pembangunan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

Wajah ceria anak -anak Kinyau

Selain prasarana seperti sekolah dan dewan katanya, penduduk sudah mendapat bekalan elektrik 24 jam.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang tidak pernah berhenti memperjuangkan nasib orang Bukit Kinyau.

“Hasil kesungguhan beliau kami sudah menikmati bekalan elektrik. Saya percaya beliau sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan lain seperti air dan jalan raya yang kami amat perlukan,” ujarnya.

Pemberian kerajaan itu kata Mohd Bohari amat besar maknanya kepada penduduk terutama generasi muda Kinyau.

“Bekalan elektrik bukan sahaja menyenangkan urusan harian penduduk tetapi memudahkan lagi anak-anak kami menimba ilmu. Terima kasih Kerajaan Sarawak,” tambahnya.

Len Talif (tengah) kerap turun meninjau masalah penduduk Kinyau.

Beberapa bot nelayan Kinyau.