SERIAN: Anggota bomba dengan dibantu penduduk kampung terpaksa meredah laluan gunung selama empat jam untuk menurunkan seorang pendaki wanita yang cedera di Gunung Sadong, Kampung Baru Bunga di sini semalam.

Usaha membawa turun mangsa yang berusia 20-an itu bermula dari jam 8.50 malam, selepas wanita terbabit terkandas di puncak gunung berkenaan kerana kecederaan dialaminya, akibat tergelincir ketika menuruni gunung.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata mangsa yang mengadu sakit di pinggang diangkat menggunakan usungan (stretcher) untuk dibawa menuruni gunung.

“Setibanya di kaki gunung, mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba dan seterusnya dihantar ke Hospital Serian untum rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, mangsa menyertai kumpulan pendaki terdiri daripada lapan orang dengan diiringi dua penduduk kampung (pemandu gunung) untuk mendaki ke puncak Gunung Sadong.

Bagaimanapun, kesemua yang lain dapat turun dari gunung berkenaan manakala mangsa terkandas akibat cedera, dengan ditemani salah seorang pemandu gunung terlibat.

Sejurus menerima laporan kejadian sekitar jam 7 malam, sekumpulan penduduk kampung segera naik ke gunung berkenaan untuk membantu menurunkan mangsa sebelum ketibaan anggota bomba dari Serian.