KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap keputusan kerajaan persekutuan memindahkan pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Beliau berkata akan memfailkan permohonan bagi menyaman kerajaan persekutuan di atas tindakan ‘melanggar perlembagaan’ itu di Mahkamah Tinggi Kuching dalam masa terdekat.

Ting menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong sebagai defendan, termasuk kerajaan persekutuan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah. Menteri Undang-Undang adalah salah seorang (defendan) dan kerajaan persekutuan.

“Kami juga mungkin mempertimbangkan keperluan untuk Perdana Menteri (sebagai defendan) kerana beliau adalah orang yang menasihati Agong,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

Sebastian Ting pada sidang media di ibu pejabat SUPP, hari ini.

Ting berkata keputusan itu dibuat atas kapasitinya sebagai ADUN Piasau dan rakyat Sarawak.

Beliau menegaskan ini adalah satu-satunya cara untuk melindungi kepentingan Sarawak.

“Saya merasakan ‘perlanggaran’ seperti ini tidak boleh dibenarkan terutama dalam mempengaruhi hak Sarawak.

“Sekiranya kita tidak membuat apa-apa, maka apa lagi yang seterusnya. Kita mesti memastikan ini dihentikan dan biar mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Pergolakan antara kerajaan Sarawak dan Putrajaya terus tercetus, susulan keputusan kerajaan persekutuan memindahkan pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Vui Keong kemudian dipetik berkata keputusan itu adalah “keputusan kehakiman” yang dipersetujui empat hakim tertinggi di negara ini.

Katanya langkah tersebut telah dipersetujui empat hakim tertinggi pada bulan Mac tahun ini – merujuk kepada Ketua Hakim, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.