KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengambil pelbagai inisiatif khususnya bagi membantu petani di luar bandar Sarawak memasarkan hasil tanaman mereka termasuk melalui Program Ladang Kontrak, Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan program MyBest Buy (MBB).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata melalui Program Ladang Kontrak, petani mendapat jaminan pasaran bagi produk yang dihasilkan dengan membuat perjanjian jual beli antara pihak petani dengan FAMA dengan kaedah belian pada harga semasa yang disokong dengan harga lantai dan belian pada harga tetap.

“Pada tahun 2018, seramai 160 petani telah berdaftar untuk menyertai Ladang Kontrak bagi mengusahakan komoditi sayur-sayuran dengan keluasan kawasan tanaman 269.82 hektar dan nilai jualan sebanyak RM15.23 juta.

“Bagi komoditi buah-buahan pula, peserta yang berdaftar dalam program ini adalah seramai 333 orang petani dengan keluasan tanaman seluas 626.7 hektar dan nilai jualan RM26.36 juta,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Nuing Jeluing yang ingin tahu usaha kerajaan dalam membantu petani di luar bandar Sarawak yang gagal memasarkan hasil tanaman mereka ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, Kuala Lumpur.

Bernama melaporkan, Sim menjelaskan kementerian turut menggalakkan para petani menjual hasil keluaran mereka secara terus kepada pengguna dalam program jualan anjuran FAMA seperti Program JTDL dan MBB di Medan Niaga Satok, Pasar Tani dan outlet-outlet FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat di seluruh Sarawak.

MOA juga melalui FAMA, katanya, turut membimbing seramai 5,821orang petani di Sarawak pada tahun lalu darisegi khidmat pemasaran dan berjaya mencatatkan nilai jualan RM180.77 juta.

Sim dalam pada itu menyeru golongan petani di negara ini khususnya di kawasan luar bandar mengambil kesempatan perkembangan digital dengan memasarkan hasil tanaman mereka terus kepada pelanggan menerusi urus niaga dalam talian (online).

“Di China, sebuah kampung di pedalaman berjaya menghasilkan 100 jutawan selepas mereka memasarkan hasil tanaman mereka yang telah diberi nilai tambah di platform niaga online ‘Alibaba’…jadi saya nampak potensi ini dalam kalangan petani di pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk turut memasarkan produk mereka terus kepada pelanggan secara online,” katanya.