SARIKEI: Program Sivik Jiwa Murni merupakan salah satu platform penting Jabatan Penerangan dalam usaha menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pegawai Jabatan Penerangan Bahagian Sarikei, Mohamad Shahrizan Putit berkata, penganjuran program bermula di peringkat sekolah rendah itu sebahagian usaha jabatan mempupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Pendekatan itu katanya, amat penting bagi memastikan agenda kelangsungan pembangunan negara dan seterusnya memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Tanggungjawab kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya sentiasa hidup tenteram, rukun, aman dan damai.

“Kita mahu masyarakat pelbagai kaum di negara ini saling faham memahami, sayang menyayangi dan hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya pada majlis Program Sivik Jiwa Murni di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sze Lu di sini, hari ini.

Program yang diserikan dengan Pameran Mobile Pusat Maklumat rakyat ( PMR), Kuiz Kenegaraan dan Ceramah Sayangi Malaysiaku.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ahli Parlimen P.208 Sarikei, Andrew Wong Ling Biu.
Dalam pada itu, Andrew turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK Sze Lu selain alat tulis kepada seramai 63 murid sekolah berkenaan.

Sumbangan disampaikan kepada Naib Pengerusi PIBGnya, Yong Nget Ha.

Andrew (tengah) bersama Shahrizan (duduk dua kanan) bersama guru dan murid sejurus selesai program Sivik Jiwa Murni di SJK Szu Lu.

 

Andrew menyampaikan sumbangan sambil diperhatikan tetamu jemputan yang lain.