KUCHING: Warga Kuching teruja menyambut Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli buat julung kalinya melakukan lawatan kerja ke bandar raya ini pada 25 dan 26 April.

Bagi peniaga dan pengunjung di Lebuh India dan Tebingan Kuching, mereka ingin Sultan Abdullah dan Tunku Azizah merasakan sendiri keunikan makanan Sarawak dan melihat perpaduan di negeri ini.

Nur Ariyanie Farahin Abdul Rahman, 23 tahun dia teruja dengan lawatan tersebut dan akan mengambil kesempatan untuk mempromosikan barangan kraf hasil tangannya sendiri.

“Saya rasa sangat teruja dengan lawatan tersebut kerana ia merupakan kali pertama pasangan diraja ini datang ke Kuching dan berkunjung ke Lebuh India ini.

“Jika pasangan ini datang ke gerai kecil ini, saya akan menunjukkan kepada mereka gelang yang saya hasilkan menggunakan tangan sepenuhnya,” kata peniaga gelang dan kraf tangan di Lebuh India itu.

Nurul Jannah Mawi, 19 tahun dia mahu pasangan diraja tersebut melihat perpaduan kaum di Sarawak khususnya di Lebuh India dan merasa sendiri laksa Sarawak.

“Saya mahu Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melihat sendiri perpaduan kaum yang ada di Lebuh India ini kerana peniaga di sini terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa.

“Saya ingin mereka merasa kelainan laksa Sarawak kerana ia merupakan salah satu lambang negeri ini,” katanya yang bekerja di salah sebuah kedai di Lebuh India.

Bagi Izzaidah Umar, 27 dia rasa gembira dengan lawatan tersebut dan ingin menunjukkan kepada pasangan diraja itu kain songket di kedai tempatnya bekerja.

“Saya sangat gembira dengan lawatan pasangan diraja ini kerana bukan selalu kita menerima kunjungan sebegini.

“Jika berpeluang saya mahu mereka melihat sendiri keunikan kain songket yang dijual di kedai ini, kerana keunikkan corak dan sebagainya,” ujarnya.

Mohd Jamil Daud, 53 tahun dia berniaga di Tebingan Kuching berbesar hati menerima lawatan tersebut dan ingin mempromosikan Nasi Lemak Pandan Sarawak yang diusahakan selama 12 tahun.

“Sebagai peniaga di Tebingan Kucing ini, saya amat berbesar hati menerima kunjungan pasangan diraja ke sini.

“Jika gerai kecil saya ini dikunjungi oleh mereka, saya ingin memperkenalkan Nasi Lemak Pandan Sarawak yang saya usahakan 12 tahun ini kerana keistimewaan resipinya,” katanya.

Aizzat Zahidi Mizan, 16 tahun dari Kampung Panglima Seman teruja untuk solat jumaat di Masjid Darul Hana bersama Sultan Abdullah dan mahu memperkenalkan Silat Gerak Kuntau Betawi Darul Hana Kuching.

“Saya tidak akan melepaskan peluang untuk Solat Jumaat bersama Sultan Abdullah di Masjid Darul Hana Kuching jumaat nanti kerana jarang sekali kita merasakan peluang seperti ini.

“Jika diberi peluang dan persembahan silat diadakan saya berharap agar baginda melihat persembahan Silat Gerak Kuntau Betawi Darul Hana Kuching kerana rentaknya berbeza dari silat-silat yang lain,” katanya ketika di temui di Tebingan Kuching.

Nur Ariyanie

 

Nurul Jannah

 

Izzaidah

 

Mohd Jamil

 

Aizzat Zahidi

 

Gambar tambahan: sekitar persiapan di Tebingan Kuching untuk menyambut pasangan diraja.