SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Jefry Lana menjelaskan, urusan mendaftar pemain untuk Liga Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi mengambil masa yang agak lama.

“Ia bukanlah urusan ambil nama, tulis kad pengenalan dan terus serah kepada pihak penganjur.”Tetapi ia adalah satu urusan yang agak rumit dan mengambil tempoh masa tertentu,” ujarnya.

Menurut Jefry, perkara utama dalam urusan mendaftar pemain ialah persetujuan kedua-dua belah pihak, iaitu antara pemain dan pihak pengurusan.

“Pemain yang kita tawarkan tidak akan terus bersetuju… mereka akan berfikir dahulu sama ada menerima tawaran kita atau sebaliknya.

“Jadi kita kena tunggu dulu, kerana ada pemain yang kita tawarkan turut ditawarkan pasukan lain, jadi adalah hak pemain untuk membuat pilihan,” ujarnya.

Tambah Jefry, setelah persetujuan dibuat ia memerlukan satu lagi proses iaitu berurusan dengan pihak lembaga hasil dan urusan “stamping”.

“Dalam hal ini kami tidak terburu-buru… kerana kita tidak mahu timbul isu pemain yang kita daftar tidak sah, kerana tidak ikut prosedur,” katanya.

Sarawak merupakan antara tujuh pasukan dalam Liga Malaysia (Liga Super & Liga Premier) yang didenda pemotongan 50 peratus geran oleh pihak MFL gara-gara gagal mendaftar pemain pada tarikh yang ditetapkan iaitu 31 Disember 2018.