KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik langkah berani Kerajaan Sarawak sebagai perintis kepada pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah.

Presiden STU, Macky Joseph, berkata, tindakan positif ini selari dengan visi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik.

“Sudah tentunya langkah permulaan ini adalah yang terbaik dan dilaksanakan dengan sistem sewajarnya, pasti akan berjaya.

“Malah, STU akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak serta Jabatan Pendidikan Sarawak untuk melatih 400 guru untuk tujuan tersebut tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Presiden STU, Macky Joseph

Menurut Macky, langkah permulaan yang disusuli dengan langkah pro aktif adalah hasil daripada kerjasama kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, STU berharap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak serta Jabatan Pendidikan Sarawak memberi rangka rancangan yang komprensif agar makenisme pelaksanaan berjaya.

“Rancangan itu termasuk melatih para guru selain mengadakan kursus berterusan dan menyediakan buku teks, buku rujukan serta kemudahan lain,” jelasnya.

Tambah Macky, bagi merealisasikan rancangan ini, Kerajaan Sarawak perlu menyediakan peruntukan khas kerana kekangan kewangan merupakan punca kepada kegagalan pelaksanaannya.

“STU akan sentiasa menyokong rancangan kerajaan serta berharap Sarawak boleh menjadi model kepada kejayaan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Ini kerana, bahasa Inggeris diguna pakai secara meluas dalam bidang perubatan dan kejuruteraan,” ujarnya.