KUCHING: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) berusia awal 20-an ditemui menjadi mangsa rogol selepas melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 23 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa menerusi satu kenyataan berkata, bapa mangsa yang terkejut melihat anaknya melahirkan seorang bayi kemudiannya terus membuat laporan polis.

“Mangsa merupakan pemegang kad OKU pekak dan bisu sejak lahir dan masih belum mempunyai suami.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengaku menjalinkan hubungan seks bersama tiga lelaki dikenalinya dari kampung yang sama,” katanya.

DITANGKAP … Kelihatan dua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari IPD Padawan hari ini.

Tambah Merbin, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah IPD Padawan kemudiannya menangkap dua lelaki tempatan masing-masing berusia 50 dan 48 tahun di kampung yang sama semalam.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan permohonan reman dibuat esok.

“Seorang lagi suspek yang masih bebas diburu pihak polis bagi membantu siasatan,” tegasnya.

Katanya, mangsa kini masih ditempatkan di HUS untuk dipantau kerana melahirkan bayi pramatang, lapan bulan.

“Bagaimanapun, pegawai penyiasat tidak dapat memperoleh keterangan lanjut mengenai kejadian yang berlaku daripada mangsa kerana sukar menjawab soalan diajukan.

“Oleh itu, seorang jurubahasa yang bertauliah akan dipanggil untuk membantu merakamkan keterangan mangsa,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.