BAU: Empat lelaki dari Kampung Karu, Jalan Puncak Borneo diberkas polis kerana terlibat dalam kegiatan perjudian ‘holo’ di sebuah rumah di Kampung Serikin, di sini.

Semua mereka yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 46 tahun ditangkap ketika sedang leka bermain judi itu sekitar jam 3.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata tangkapan dibuat dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau ke atas sebuah rumah di Kampung Serikin.

“Mereka yang ditahan adalah seorang lelaki Bidayuh yang dipercayai penganjur judi holo itu dan tiga yang lain sebagai pemain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge berkata semua peralatan judi turut dirampas dan mereka yang ditangkap dibawa ke IPD Bau untuk siasatan lanjut.

Semua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.