PELARI profesional dari Sri Aman dan kakitangan wanita Bank Hong Leong Betong masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori utama Betong Warrior Night Run iaitu 10 kilometer terbuka lelaki dan wanita di Kompleks Sukan, malam tadi.

Mereka antara peserta terpantas yang tiba di garisan penamat dalam kategori tersebut.

Bergelar juara kategori 10 kilometer terbuka lelaki, Abang Mohd Zaini pulang dengan hadiah wang tunai RM500.

Sementara naib juara, Mohd Norfaizul dan pemenang tempat ketiga Foong Zhi Rong masing-masing memenangi hadiah RM200 dan RM100.

Priscilla Si Sin Ya pula yang menjadi pelari terpantas kategori yang sama untuk wanita selaku juara turut memenangi hadiah RM300.

Naib juara disandang Lee Yik Ming (hadiah RM200) dan tempat ketiga Wong Lee Lee (hadiah RM100).

Bagi kategori lima kilometer terbuka lelaki pula, juara menjadi milik Muhammad Illiyyin sekaligus memperoleh RM300, manakala Sin Yes Fong selaku naib juara pulang dengan hadiah RM200 dan Roy Jaivin di tangga ketiga meraih hadiah RM100.

Yap Fong Lin pula yang menerima hadiah RM200 setelah dinobatkan sebagai juara kategori lima kilometer terbuka wanita. Naib juara diraih oleh Edrawinna Hazel Tian (hadiah RM100), manakala tempat ketiga Voon Nyuk Lan (hadiah RM80).

Kategori terakhir yang dikhususkan kepada ketua-ketua masyarakat dan kaum serta jabatan dengan larian sejauh tiga kilometer dimenangi oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PPgB Vincent Baling Yabi sekaligus memenangi hadiah RM200.

Khairil Skut berada pada kedudukan naib juara dengan hadiah RM100 dan tempat ketiga, Kemapan Langkan membawa pulang RM50.

Selain wang tunai, kesemua pemenang turut membawa pulang medal dan sijil.

Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal memberitahu, Betong Warrior Night Run yang julung kalinya diadakan mendapat sambutan menggalakan.

“Jumlah penyertaan malam tadi 234 pelari, hampir menepati sasaran yang ditetapkan iaitu 250. Namun bagi saya, satu pencapaian yang membanggakan untuk penganjuran pertama kali.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang dan terima atas komitmen semua untuk menyertai aktiviti sihat ini serta memohon maaf atas kekurangan… Insha-Allah, Betong Warrior Night Run edisi kedua tahun hadapan akan lebih hebat,” katanya.

Larian anjuran Pejabat Daerah Betong bersama Pejabat Daerah Kecil Spaoh dan Debak itu turut disertai oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Betong Deputi Superintendan Mohd Fahdil Antum Abdullah, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Betong Kapten (PA) Usman Harto dan Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang.