KUCHING: Buktikan potensi dan kepakaran diri untuk menakluki masa depan.

“Saya cabar para belia yang berada di hadapan saya untuk membuktikan potensi diri, berdasarkan potensi dan kepakaran masing-masing!,” demikian kata-kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kepada para belia, semalam.

Abdul Karim menyatakan, belia merupakan aset penting yang perlu digilap sebaik mungkin untuk memastikan negeri dan negara terus merdeka dalam segenap aspek.

“Negara kita hari ini dalam usaha membina generasi muda mengikut acuan dan ia menuntut perhatian yang besar dan bersungguh-sungguh daripada kita semua termasuk masyarakat, kerajaan serta para belia.

“Belia perlu memahami dan menghayati visi dan misi kerajaan dalam agenda pembangunan negeri dan negara serta pendekatan strategik kerajaan sama ada dalam jangka masa yang pendek, sederhana atau panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak seterusnya merasmikan Karnival Kuasa Belia Sarawak 2019 di sini, semalam.

Beliau menambah, pihak kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan dan keperluan para belia melaksanakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan.

“Saya menyeru para belia di Sarawak untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan berfikir di luar kebiasaan agar dapat bersama-sama membangunkan negara khususnya negeri Sarawak.

“Untuk adik-adik semua, kuatkanlah semangat juang anda, jati diri, patriotisme, kesukanan, kesukarelawanan ke arah pembinaan negara bangsa dan ia akan menyumbang kepada negara maju seterusnya kepada diri anda sendiri,” jelas Abdul Karim.

Katanya lagi, kementeriannya bersama-sama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak akan sentiasa menyokong para belia.

“Saya yakin dan percaya Anugerah Perdana Belia Negara akan mampu merangsangkan semangat kesukarelaan dan mencorakkan minda positif dalam kalangan belia.

“Ia juga berupaya meningkatkan penglibatan,pengetahuan baharu dan inovasi teknologi, bagi meralisasikan matlamat pembangunan belia selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015,” tegasnya.