MALAYSIA bersiap sedia untuk menganjurkan Piala Dunia FIT Touch 2019 yang akan membuka tirainya pada 29 April ini hingga 4 Mei depan.

Aksi kelas dunia itu bakal menyaksikan persaingan 26 buah negara melibatkan 117 pasukan dan 2,500 pemain.
Taman Ekuestrian Putrajaya akan menjadi venue kejohanan kelas dunia itu yang kini sudah memasuki edisi kesembilan.

Malaysia amat bertuah kerana diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah oleh Persekutuan Touch Antarabangsa (FIT) walaupun sukan tersebut masih baharu di negara ini.

Malaysia juga menjadi nega ra pertama Asia Tenggara untukmementaskan acara yang semakin pesat berkembang di rantau ini.

Edisi kelapan kejohanan ini telah diadakan di Coffs Harbour, Australia pada 2015.

Pada edisi kali ini, tumpuan pastinya terarah kepada Australia yang telah menampilkan kelas tersendiri sejak Piala Dunia Touch diperkenalkan pada 1988.

Boleh dikatakan Australia hampir mendominasi semua kategori yang dipertandingkan pada setiap penampilan mereka dalam Piala Dunia.

Saingan terdekat mereka bakal hadir daripada New Zealand yang dilihat semakin mantap sejak kebelakangan ini.

Namun, kedua-dua pasukan ini tidak boleh berasa selesa kerana beberapa negara dari benua Afrika kini sudah mula menunjukkan kekuatan tersendiri.

Negara-negara seperti Samoa, Fiji dan juga Cook Island tidak boleh dipandang ringan kerana persiapan mereka untuk menghadapi Piala Dunia 2019 dikatakanberjalan sempurna.

Perkembangan ini pastinya menjanjikan persaingan sengit, sekali gus bakal menjadikan Piala Dunia edisi kesembilan ini lebih menarik dan mencabar.

Malaysia selaku tuan rumah, tidak meletakkan sasaran tertentu, sebaliknya bertekad untuk melakukan kejutan.

Selain itu, peluang beraksi dalam Piala Dunia merupakan kesempatan terbaik buat barisan pemain untuk menimba pengalaman dalam misi untuk memantapkan gaya persembahan mereka.

Pada edisi kali ini, Malaysia akan menurunkan tiga pasukan iaitu dalam kategori campuran, terbuka wanita dan lelaki 40 tahun.

Harapan disandarkan kepada skuad campuran dan lelaki 40 tahun yang dianggap mampu memberi cabaran.

Skuad campuran negara akanmemulakan kempen menentang New Zealand pada 30 April ini, manakala skuad lelaki 40 tahun akan berdepan saingan Singapura pada 29 April.

Skuad terbuka wanita pula akan beradu tenaga dengan New Zealand pada aksi pembuka tirai, 30 April ini.

Sejak semalam, beberapa pasukan sudah tiba di ibu negara bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca.

Antara negara yang akan bersaing pada edisi kali ini ialah Australia, Belgium, Chile, China, Chinese Taipei, Cook Island, England, Fiji, Perancis, Jeman, Hong Kong, Ireland, Itali, Jepun, Belanda, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Samoa, Scotland, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Amerika.Syarikat, Wales, Afrika Selatan
dan Malaysia.

Sejumlah 11 kategori akan dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Terbuka Campuran, Wanita 27 Tahun, Lelaki 30 Tahun, Campuran 30 Tahun, Wanita 35 Tahun, Lelaki 35 Tahun, Lelaki 40 Tahun, Lelaki 45 Tahun dan kategori Lelaki 50 Tahun.