KUCHING: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara dan denda kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan.

Dia ditangkap dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Jalan FAC Matang, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, jika sabit kesalahan lelaki terbabit boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak melebihi RM15,000 di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

“Setakat ini, dia dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Aidil berkata operasi yang bermula jam 4 petang hingga 10 malam turut menyita lima buah motosikal.

Selain itu, katanya daripada 85 buah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Antaranya seperti cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan tidak memakak topi keledar.

Aidil berkata Ops Samseng Jalanan yang turut disertai enam anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) adalah bagi mengesan dan menangkap penunggang motosikal yang menjalankan aktiviti lumba haram.

Ia juga bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ke tahap yang paling minimum.

“Lumba haram yang dilakukan oleh mat rempit ini bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain serta mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada ekzos yang diubah suai,” katanya.

Beliau menambah operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama pada hujung minggu untuk memastikan aktiviti lumba haram oleh mat rempit dapat dihapuskan khususnya di daerah Padawan.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti lumba haram ini kepada polis supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mereka,” katanya.

ix 1 – Motosikal yang disita Ops Samseng Jalanan IPD Padawan di Jalan FAC Matang pada semalam.

Pix 2 – Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan semasa Ops Samseng Jalanan IPD Padawan di Jalan FAC Matang pada semalam.