KUCHING: Satu Majlis serah tugas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Sarawak dari Leftenan Kolonel Dunging Serit kepada Pengarah Baru, Mejar Pahot Joll diadakan di Auditiorium Kompleks Belia dan Sukan hari ini.

Upacara penyerahan tugas tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pengarah JHEV ATM , Mejer Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad serta Pegawai Tugas Khas Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Lefternan Jeneral Datuk Stephan Mundaw.

Majlis tersebut turut dihadiri lebih 200 veteran dari seluruh persatuan veteran ATM yang ada di Sarawak.

Leftenan Kolonel Dunging Serit berucap menjelaskan beliau yang berasal dari Kampung Entanggor Sebuyau ini telah menjawat Pengarah JHEV ATM Sarawak selama 4 tahun.

“Saya mula memasuki Kadet Tentera pada 23 Julai 1981 dan ditauliahkan Lefternan Muda pada 23 Julai 1982,

“Saya juga pernah berkhidmat di Markas 3 Bde, Markas 1 Divisyen, Pusat Latihan Kor Ordinans di Kuala Lumpur dan Pusat Peperangan bersama di Kuala Lumpur sebelum dilantik sebagai Pengarah JHEV ATM Sarawak sehingga hari ini,

“Saya juga akan bersara wajib pada usia 57 tahun setelah berkhidmat selama 37 tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati dan berpesan kepada Veteran ATM dari seluruh Sarawak agar dapat bekerjasama dengan Pegarah JHEV ATM Sarawak yang baru, iaitu Mejar Pahot Joll demi kebaikan semua veteran yang ada.

“Kepada semua veteran yang menghadapi masalah diharap mereka dapat memaklumkan kepada Pejabat Veteran yang terdapat di Kuching, Sibu dan Miri.

Beliau turut berkongsi perancangan yang bakal dibuat antaranya akan pergi bercuti dan seterusnya beliau akan melapor diri ke Pejabat Kerajaan Negeri Sarawak di Wisma Baitul Makmul (MASJA) bersama Lefternan Jeneral Datuk Stephan Mundaw.

“Saya juga sedia meneruskan khidmat bakti dan nasihat bagi membantu veteran-veteran yang ada seramai 25,400 di seluruh Sarawak sekiranya diperlukan,

“Kepada semua pihak media saya turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah terbentuk sepanjang saya memegang jawatan ini,” ujarnya.

Selain itu, setelah majlis penyerahan tugas berakhir turut diadakan program dialog antara veteran-veteran dari seluruh Sarawak yang hadir, bersama dengan Ketua Pengarah JHEV ATM , Mejer Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Dialog ini merupakan kali kedua dibuat setelah yang pertama diadakan di Kem Muara Tuang, yang turut menghimpunkan para veteran dan tentera bertujuan bagi menjadi platform bagi para pesara atau veteran ini mengutarakan setiap masalah yang dihadapi dan pihak JHEV ATM akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya.