BINTULU: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah dalam proses mempertimbangkan kelulusan beberapa buah AgroPark lagi di negeri ini.

Hingga kini, Kerajaan Sarawak menerusi kementerian berkenaan meluluskan tiga AgroPark, masing-masing dua di Sarikei, iaitu di Sungai Baji dan Sungai Sian, serta satu di Sadong Jaya, Samarahan.

Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata inisiatif mewujudkan AgroPark timbul apabila wujud trend baharu dalam kalangan belia dan profesional untuk berkecimpung dalam bidang pertanian.

Menurutnya, kebanyakan mereka memiliki pengetahuan, kepakaran dan minat mendalam, tetapi tidak memiliki tanah untuk diusahakan.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan mewujudkan AgroPark, ujarnya ketika berucap mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merasmikan Bintulu AgroFest 2019 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini.

Menerusi konsep tersebut, katanya, Kerajaan Sarawak akan menyediakan sebuah kawasan yang dipecahkan kepada lot dan dilengkap kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi serta pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan.

Mereka yang berminat, ujarnya, boleh memohon untuk menyewa lot-lot di AgroPark terbabit.

Beliau, dalam pada itu memberitahu kerajaan turut memperuntukkan dana teroka pertanian berjumlah RM100 juta bagi membiayai pelbagai projek pertanian yang mempunyai potensi komersial.

Pelbagai aktiviti seperti pameran promosi dan jalan berkaitan pertanian diadakan sepanjang tiga hari program Bintulu AgroFest 2019 berlangsung bermula 26 hingga 28 April di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Turut diadakan aktiviti hiburan dan pertandingan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan usahawan khasnya dari Bintulu bagi memeriahkan lagi program tersebut.